Thursday 3 November 2011

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH

                             

Kurikulum adalah rancangan pendidikan yang sentiasa mengalami perubahan. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, perancangan dan pembentukan kurikulum  adalah didasari oleh falsafah dan matlamat pendidikan negara yang menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan.
Kurikulum ataupun skop kandungan sesuatu pelajaran adalah asas penting dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia memerlukan suatu kurikulum yang kemas dan sesuai untuk mewujudkan sistem pendidikan yang dinamik serta selaras dengan cita-cita dan kehendak negara ( Kamaruddin Haji Hussin, 1994 )
Perkembangan kurikulum tidak berlaku dengan sendiri tanpa sebab yang mempengaruhinya. Ia berlaku sejajar dengan kemajuan masyarakat dan negara dan ia dianggap sebagai satu proses yang dinamik dan seimbang. 
Berdasarkan sejarah perkembangan pendidikan matematik Malaysia, kandungan isi pelajaran matematik telah beberapa kali mengalami perubahan. Dari segi kandungan sukatan pelajaran, kurikulum matematik yang dilaksanakan sebelum tahun 70-an memberi fokus kepada matematik tradisi. Dalam sukatan ini, kemahiran asas dalam ketepatan dan kelajuan kira mengira diberi penekanan. Pendekatan pengajaran pembelajaran begini sangat berkesan dalam meningkatkan kemampuan pelajar dari segi mengulangi algorithma atau prosedur matematik, tetapi tidak boleh digunakan untuk menerapkan pemikiran matematik yang lebih luas. Matematik pada ketika itu dianggap sebagai ilmu kira mengira. Segala fakta, petua dan hukum mesti dihafal oleh murid-murid. Maka pembelajaran matematik menjadi satu rutin menerima pengetahuan, menghafal pengetahuan dan membuat latih tubi supaya meningkatkan penghafalan.
Kurikulum Baru Sekolah Rendah, (KBSR) merupakan perintis kepada model-model kurikulum di Malaysia. Sebagai tapak permulaan, banyak kekurangan serta penambahbaikan yang telah dilakukan untuk memantapkan lagi sistem pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, ia menjadi asas kepada permulaan kurikulum sehingga terhasilnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang juga dikenali sebagai KBSR pada tahun 1983. Pada tahun 2011, berlaku lagi satu perubahan dalam kurikulum matematik iaitu terbentuknya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Berdasarkan sejarah perkembangan pendidikan matematik Malaysia, kandungan isi pelajaran matematik telah beberapa kali mengalami perubahan. Dari segi kandungan sukatan pelajaran, kurikulum matematik yang dilaksanakan sebelum tahun 70-an memberi fokus kepada matematik tradisi. Dalam sukatan ini, kemahiran asas dalam ketepatan dan kelajuan kira mengira diberi penekanan. Pendekatan pengajaran pembelajaran begini sangat berkesan dalam meningkatkan kemampuan pelajar dari segi mengulangi algorithma atau prosedur matematik, tetapi tidak boleh digunakan untuk menerapkan pemikiran matematik yang lebih luas. Matematik pada ketika itu dianggap sebagai ilmu kira mengira. Segala fakta, petua dan hukum mesti dihafal oleh murid-murid. Maka pembelajaran matematik menjadi satu rutin menerima pengetahuan, menghafal pengetahuan dan membuat latih tubi supaya meningkatkan penghafalan.
Kurikulum Baru Sekolah Rendah, (KBSR) merupakan perintis kepada model-model kurikulum di Malaysia. Sebagai tapak permulaan, banyak kekurangan serta penambahbaikan yang telah dilakukan untuk memantapkan lagi sistem pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, ia menjadi asas kepada permulaan kurikulum sehingga terhasilnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang juga dikenali sebagai KBSR pada tahun 1983. Pada tahun 2011, berlaku lagi satu perubahan dalam kurikulum matematik iaitu terbentuknya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Banyak faktor yang mempengaruhi berlakunya rombakan serta perubahan dalam sistem pendidikan. Paling utama ialah faktor falsafah pendidikan. Falsafah pendidikan negara memainkan peranan yang penting dalam mencorak sistem pendidikan di sesebuah negara, khususnya di Malaysia. Falsafah pendidikan negara mempunyai implikasi yang besar terhadap pembentukan kurikulum. KBSR dan KSSR adalah hasil perubahan yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Berdasarkan Kamaruddin Haji Husin (1994), antara perubahan-perubahan yang jelas terdapat dalam KBSR   ialah   sukatan   pelajaran yang   digubal memberi  penekanan   kepada   aspek kesepaduan dan keseimbangan. Oleh itu konsep-konsep seperti penggabungjalinan dan penyerapan sentiasa dititik beratkan. Selain itu, penekanan baru diberikan kepada penerapan nilai-nilai murni. Kehendak masyarakat juga menjadi faktor kepada perubahan kurikulum, ini kerana masyarakat juga menentukan samada kurikulum itu sesuai atau pun tidak dengan kehendak mereka. 
Namun begitu bukanlah mudah untuk memenuhi semua tuntutan masyarakat terhadap kurikulum dan sumbangannya pada budaya, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang kompleks dan mengalami perubahan yang pesat. Oleh itu, kajian secara mendalam perlu dilakukan sebelum apa-apa perubahan dilaksanakan. Faktor politik mendorong perubahan kurikulum di Malaysia. Ini jelas dibuktikan apabila bertukarnya tampuk kepimpinan negara, maka akan berlakulah perubahan kurikulum dan dikaji semula. Kurikulum pendidikan menjadi saluran penting bagi setiap badan pemerintahan menguatkan pengaruh mereka. Kerajaan bertanggungjawab menetapkan Dasar Pendidikan Negara sejajar dengan hasrat pemerintah. Di samping itu, faktor pembangunan dan perkembangan dunia juga memberi dorongan perubahan kurikulum. Ini kerana negara yang ingin maju dan membangun tidak seharusnya mempunyai kurikulum yang statik. Oleh itu ia harus diubahsuai mengikut peredaran masa dan kemajuan sains dan teknologi.
Faktor perubahan sosial juga perlu dititikberatkan kerana kurikulum yang mantap mampu mewujudkan sosial yang sihat di kalangan murid. Oleh itu, ia mestilah sentiasa diubah agar sejajar dengan peredaran zaman. Tambahan pula, faktor perkembangan ilmu serta kepentingannya sangat mendorong ke arah perubahan. Ilmu yang bersifat dinamik menyebabkan ia sentiasa berkembang. Perkembangan ini disebarkan kepada masyarakat menerusi perancangan kurikulum  yang lebih kemas dan sesuai dengan kehendak masyarakat dan negara. Perkembangan ini penting dalam pembentukan kurikulum supaya ia dapat dikemaskini dari masa ke semasa agar ilmu-ilmu baru ini dapat disalurkan kepada murid-murid bagi mengimbangi keperluan zaman. Dengan adanya kepastian bahawa perubahan kurikulum sentiasa berlaku, sudah semestinya akan timbul kesan-kesan kepada bakal guru. Antaranya seperti berlaku kejutan budaya dalam proses pengajaran baru. Oleh itu, guru seharusnya sentiasa bersedia menempuh pembaharuan yang akan terjadi. Di samping itu, guru juga perlu pandai menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Guru juga memerlukan sedikit masa untuk memastikan murid-murid terbiasa dengan perubahan kurikulum ini. Proses komunikasi juga akan menjadi sedikit bermasalah kerana perubahan bahasa perantaraan yang jelas. Ini juga akan memakan masa bagi murid serta guru menyesuaikannya. Ia bukan proses yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dicapai.
Berdasarkan pemahaman tentang kedua-dua jenis kurikulum iaitu antara KBSR dan KSSR, terdapat beberapa perbezaan dari pelbagai aspek. KBSR mempunyai tiga bidang reka bentuk kurikulum iaitu komunikasi, manusia dan alam sekeliling, dan perkembangan diri individu. KBSR menggunakan reka bentuk kurikulum secara linear. Berbeza dengan KSSR yang secara modularnya mempunyai enam tunjang iaitu komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, perkembangan fizikal dan estetika, sains dan teknologi dan ketrampilan diri.
Dari segi bahan kurikulum, KBSR menggunakan sukatan pelajaran yang sentiasa diubah mengikut keadaan manakala KSSR menggunakan pendekatan baru iaitu Dokumen Standard Kurikulum. Ini kerana KSSR banyak menggunakan modul-modul selaras dengan standard kurikulum. Terdapat perbezaan dalam organisasi kurikulum antara KBSR dan KSSR. Pada tahap satu dan dua, murid diajar mata pelajaran teras, wajib dan tambahan bagi KBSR. Untuk KSSR pula, tahap satu berbeza dengan tahap dua iaitu modul teras asas, modul teras tema dan modul elektif diajar. Manakala pada tahap dua, mata pelajaran teras dan elektif sahaja diajar.
Dalam fokus KBSR terdapat hanya 3M iaitu membaca, menulis, mengira. Ini berbeza dengan KSSR yang ditambah lagi elemennya menjadi 4M iaitu membaca, menulis, mengira serta menaakul. Ini jelas menunjukkan bahawa KSSR banyak ditambahbaikkan. Jika merujuk kepada matlamat umum pelaksanaan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah. Pelaksanaan KSSR adalah sangat bertepatan dan sesuai pada masanya. Maka dengan itu, pengenalan kepada KSSR ini diharapkan dapat membaharui kurikulum sedia ada dan memastikan ianya relevan dengan keperluan pendidikan semasa.
Penggunaan istilah “standard” dalam KSSR merujuk kepada intipati yang digunakan dalam kurikulum ini yang mana menggariskan  dua standard utama. Pertamanya ialah Standard Kandungan yang merujuk kepada penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Manakala, standard kedua yang ditekankan pula berkonsepkan kepada Standard Pembelajaran yang merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Jadi penggunaan istilah “standard” yang menggantikan “bersepadu” amatlah sesuai. Ini kerana kurikulum baru ini amat berbeza dari segi modulnya serta pelaksanaan yang berlandaskan Dokumen Standard Kurikulum.
           Persoalan sama ada KSSR mampu membantu guru meningkatkan penguasaan matematik di kalangan murid sekolah rendah boleh dijawab dari segi keberkesanan KSSR ini. Seperti yang kita sedia maklum, dalam KSSR terdapat banyak pembaharuan dilakukan serta penambahbaikan dari banyak aspek. Jika dilihat sekali imbas sekalipun, kurikulum baru ini sudah semestinya mampu membantu guru meningkatkan penguasaan matematik. Secara logiknya, wujudnya KSSR serta perubahan kurikulum adalah kerana timbulnya kelemahan kurikulum terdahulu. Jadi ia semestinya lebih baik dari sebelumnya. Tambahan pula ilmu pengetahuan itu sangat dinamik. Maka tiada salahnya malah amat diperlukan perubahan dalam kurikulum ini bagi memastikan ia sentiasa selaras dengan perkembangan serta zaman semasa.
Bakal guru Matematik sememangnya memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk melaksanakan kurikulum Matematik dengan berkesan. Ini kerana tugas seorang guru itu bukan hanya menyampaikan isi kandungan  bagi   sesuatu topik yang dipelajari, malah guru juga perlu memberi penekanan terhadap kefahaman murid tentang apa yang dipelajari supaya murid tersebut dapat melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna serta memberi kesan kepada mereka.Tugas bakal guru yang pertama ialah mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan menarik. Guru seharusnya menyediakan aktiviti yang boleh memupuk minat murid untuk terus meminati subjek Matematik semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Sebagai contoh melalui penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) secara tidak langsung dapat membantu murid memahami tentang topik yang dipelajari. Murid hanya akan mengalami pembelajaran apabila mereka membina pemahaman sendiri. Oleh hal yang demikian, BBM yang dihasilkan perlulah sesuai dan mengekalkan konsep pembelajaran yang dipelajari pada sesuatu topik.
Dalam usaha untuk menggalakkan murid menggunakan pemikiran aras tinggi, bakal guru seharusnya melibatkan murid dengan aktiviti-aktiviti yang mendorong mereka untuk membuat analisa, menginterpretasi, dan membuat ramalan. Selain daripada itu juga, bakal guru perlu menggunakan soalan-soalan yang mencapah (open-ended) di mana satu persoalan akan membawa kepada persoalan yang lain.  Soalan sebegini akan memangkinkan proses murid berfikir mencari makna sesuatu ungkapan. Selain itu, murid-murid juga dapat berfikir secara lebih kreatif dan kritis. Murid digalakkan untuk belajar melalui perbincangan kumpulan kerana dengan latar belakang murid yang berlainan dan kecenderungan murid yang pelbagai, sudah tentu ianya akan memberi idea yang lebih berkesan kepada seseorang individu. 
Seterusnya, bakal guru juga perlu memainkan peranan yang penting dalam mengaplikasikan Matematik dalam kehidupan seharian supaya murid dapat melihat subjek Matematik secara keseluruhan dan bukan hanya pada satu skop di dalam bilik darjah semata-mata. Ini kerana, murid dapat memahami konsep yang diajarkan dengan lebih berkesan dan lebih kekal lama dalam memori murid. Selain itu, murid juga akan lebih peka terhadap dunia sekeliling sekiranya mereka dapat mengaplikasikan Matematik dalam rutin seharian.
             Sebagai konklusinya, Kurikulum Matematik KBSR dan Kurikulum Matematik KSSR merupakan dua modul yang berbeza. Akan tetapi matlamat serta konsepnya tetap sama dan tidak pernah berubah iaitu untuk melahirkan murid-murid yang cemerlang dan berjaya dari segi semua aspek sama ada jasmani, emosi, rohani, intelek mahupun sahsiah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita harus akui bahawa yang baru lebih baik daripada yang terdahulu. Maka sebab itulah terbentuknya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dipercayai mampu mengubah dan memperbaiki kelamahan yang ada dalam sistem KBSR. Jadi kita sebagai bakal guru seharusnya memberi sokongan yang jitu agar Kurikulum Matematik yang baru ini terlaksana mengikut matlamatnya dan sentiasa bersedia menerima perubahan kurikulum yang pasti ini.

MINDA CERDAS BERSAMA MATEMATIK

Disediakan oleh :
Pn. Noraiani bt Hj. OsmaN
SK. Kemahang (2),
17510 Tanah Merah, Kelantan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

MINDA CERDAS MATA BERCAHAYA Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template and web hosting